Ramai pasangan atau bakal pengantin – yang belum masuk kursus kahwin – masih belum jelas apakah dokumen-dokumen penting yang mereka perlu sediakan apabila hendak memohon kebenaran berkahwin.

Sedangkan pada masa yang sama, mereka sudahpun ada tarikh akad nikah atau tarikh majlis perkahwinan.

Memang terkejar-kejar.

Tambahan pula ada beberapa dokumen yang mereka tidak terfikir mereka kena sediakan.

Salah satu contohnya – pada sebelah bakal pengantin perempuan, perlu ada surat nikah atau surat cerai ibu bapa kandung yang ada tertera tarikh nikah mereka.

Kelam-kabut bukan?

Untuk mengelakkan keadaan sebegini berlaku, paling elok sekiranya bakal pengantin membuat persediaan menyediakan dokumen-dokumen penting ini sekurang-kurangnya 3 bulan dari tarikh akad nikah.

Lebih awal, lebih bagus.

Bagi anda yang belum ada tarikh nikah tetapi sedang merancang untuk berkahwin, anda dan pasangan juga perlu buat persediaan menyediakan dokumen-dokumen ini awal-awal.

Dahulukan hal-hal dokumen-dokumen penting, wali, prosedur perkahwinan serta bagaimana hendak menggunakan sistem permohonan kelulusan berkahwin secara online.

Apabila anda dan pasangan sudah buat persediaan awal tentang hal ini, Insya-Allah urusan yang lain akan jadi lebih mudah.

Buat pengetahuan anda juga, dokumen-dokumen penting ini perlu anda sediakan bersama borang-borang yang anda boleh dapati dari sistem permohonan kebenaran nikah secara online.

Borang-borang dan dokumen-dokumen penting anda perlu dihantar kepada Imam Jurunikah di kariah anda untuk disahkan.

Setelah ianya disahkan, barulah borang-borang bersama dokumen-dokumen penting ini dihantar kepada Jabatan Agama Islam di kawasan anda.

Saya akan jelaskan kepada anda, apakah dokumen-dokumen penting yang anda perlu sediakan sewaktu anda dan pasangan hendak memohon kebenaran berkahwin. Ianya seperti apa yang akan diterangkan sewaktu anda dan pasangan masuk kursus kahwin nanti.

Dokumen-dokumen penting tersebut:

a. Kad pengenalan.

Atau pasport.

Atau kad pengenalan MyPR (status penduduk tetap).

Atau kad pengenalan MyKas (status penduduk sementara) bagi pemohon dan pasangan.

b. Pengesahan ujian saringan HIV.

Ianya wajib dari Klinik Kesihatan Kerajaan sahaja.

c. Sijil kursus kahwin (Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam – MBKPI).

d. Sijil atau surat ataupun kad akuan menganut Islam.

Sekiranya bakal pengantin memeluk agama Islam di luar negara – perlu ada pengesahan dan pendaftaran di Jabatan Agama Islam atau Majlis Agama Islam.

e. Sekiranya bertugas sebagai polis atau tentera – perlu ada kebenaran majikan.

f. Perlu ada surat pengesahan mastautin kalau alamat yang digunakan dalam dokumen pengenalan diri tidak sama atau bukan dari daerah atau negeri tempat buat permohonan.

g. Bagi pemohon bawah umur atau wali hakim – perlu ada kebenaran Mahkamah Syariah.

Dokumen tambahan bagi bakal pengantin perempuan:

a. Perlu ada kad pengenalan wali.

b. Surat nikah atau surat cerai ibu bapa kandung yang ada tarikh nikah.

c. Surat kebenaran nikah dari pasangan calon pengantin jika berlainan kariah atau daerah atau negeri ataupun negara.

d. Borang wakalah wali.

e. Sijil kematian bapa atau datuk.

Dokumen tambahan bagi bakal pengantin yang ada status – beristeri atau duda atau janda ataupun balu.

a. Surat cerai bagi pasangan yang bercerai hidup.

b. Surat nikah atau surat rujuk dan sijil kematian pasangan sedia ada dan yang terdahulu (sekiranya bercerai mati).

c. Bagi pemohon yang ingin berpoligami dan dalam tempoh iddah isteri – perlu ada kebenaran Mahkamah Syariah.

Dokumen untuk bukan warganegara Malaysia

Bagi bakal pengantin bukan warganegara yang ingin memohon kebenaran berkahwin di negara ini – pemohon perlu tinggal atau bermastautin di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari.

Selain itu, pemohon perlu mempunyai pas yang dibenarkan untuk berkahwin.

Pas yang dibenarkan untuk permohonan kebenaran berkahwin adalah:

a. Pas Penggajian (Pas untuk bekerja)

b. Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang

c. Pas Lawatan (Sosial) Jangka Pendek

d. Pas Pelajar

e. Pas Lawatan Ikhtisas

f. Pas Residen

Hal ehwal dokumen-dokumen penting ini akan diterangkan dengan lebih terperinci dalam modul prosedur perkahwinan dalam kursus kahwin.

Dalam modul ini juga anda digalakkan untuk bertanya apa-apa sahaja kemusykilan anda kepada tenaga pengajar (penceramah).

Malah anda juga boleh mengemukakan sebarang masalah dokumen yang anda hadapi untuk mendapat pencerahan atau penyelesaian.

Maklumlah, semua penceramah prosedur perkahwinan ini adalah pakar atau imam jurunikah.

Usah lepaskan peluang.

Nota:

Untuk membantu anda, anda boleh Whatsapp saya bila-bila masa di Hotline, 019 3300961.

Atau,

Anda boleh lihat tarikh terkini, jumlah seat “real time”, yuran, waktu kursus dan pendaftaran kursus kahwin secara online di www.kursuskahwin.com.my/daftar

Discover more from Kursus Kahwin Com My

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading