Apadia 8 perkara penting tentang sijil kursus kahwin ni?

Anda mungkin telah banyak mendengar berbagai-bagai versi tentang sijil kursus kahwin.

Ada yang kata sijil kursus kahwin ini boleh dibeli, boleh dapat walaupun tidak masuk ke kursus kahwin ataupun boleh ‘kawtim atau bincang’ dengan pegawai Jabatan Agama.

Betul ke macam tu?

Betul ke boleh buat macam tu?

Sebenarnya, dari banyak versi-versi yang ada berlegar-legar di dalam Internet atau sosial media, hanya ada sedikit sahaja versi yang betul.

Jika anda masih belum tahu, terdapat 8 perkara penting yang anda perlu tahu tentang sijil kursus kahwin dan manafaatnya yang boleh membantu anda melangsungkan majlis perkahwinan anda dengan tenang.

Buat pengetahuan anda, info ini adalah proses yang dilakukan di bawah JAWI. Manakala Jabatan Agama Negeri yang lain mungkin mempunyai proses atau cara yang berlainan.

Sijil kursus kahwin ni:

 

1. Tidak Boleh Dibeli Atau Tidak Boleh Didapati Tanpa Hadir Ke Kursus Kahwin

Sijil kursus kahwin ini TIDAK BOLEH DIBELI atau TIDAK BOLEH DIDAPATI TANPA ANDA HADIR KE KURSUS KAHWIN.

Buat pengetahuan anda, untuk melayakkan anda memperolehi sijil kursus kahwin, anda dikehendaki hadir ke kursus kahwin dan anda perlu hadir ke semua 6 modul kursus kahwin yang bersamaan dengan 13 jam modul kursus kahwin.

Setiap modul pengajaran akan disampaikan oleh 6 orang tenaga pengajar (penceramah). Dan setiap modul pengajaran akan memerlukan tandatangan anda dan penceramah terlibat.

Jika terdapat 6 modul pengajaran, bermakna anda perlu menandatangai 6 kali di senarai kehadiran peserta bersama tandatangan setiap penceramah.

Jadi, melihatkan proses ini, adalah amat mustahil jika anda boleh mendapatkan sijil kursus kahwin tanpa menghadiri ke kursus kahwin.

 

2. Dokumen Wajib

Sijil kursus kahwin ini adalah salah daripada DOKUMEN WAJIB yang anda PERLU ADA sewaktu anda hendak memohon kelulusan pernikahan dari mana-mana Jabatan Agama Negeri di Malaysia ini.

Ini berlaku apabila bakal pengantin membuat kerja-kerja memohon kelulusan perkahwinan secara last minit dah tidak dapat menunggu Jabatan Agama mengeluarkan sijil kursus kahwin kepada mereka dan pasangan.

Jika ini berlaku, pusat kursus kahwin boleh mengeluarkan ‘surat pengesahan kehadiran kursus kahwin’ kepada bakal pemgantin tersebut. Surat pengesahan ini perlulah dibawa ke JAWI supaya pihak JAWI mengeluarkan juga surat pengesahan kehadiran kursus yang disahkan dan mempunyai letterhead JAWI.

Bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk memastikan betul-betul adakah Jabatan Agama Negeri anda boleh menerima surat pengesahan kehadiran kursus kahwin ini atau tidak.

Contohnya, Jabatan Agama Negeri Johor tidak menerima surat pengesahan kehadiran kursus kahwin walaupun surat itu dikeluarkan oleh mana-mana Jabatan Agama Negeri. Jabatan Agama Johor masih memerlukan sijil kursus perkahwinan.

Jadi, anda perlu check dan pastikan betul-betul.

Yang penting, jangan buat persediaan dokumentasi perkahwinan anda secara last minit.

 

3. Laku Seumur Hidup

Sijil kursus kahwin yang dikeluarkan oleh JAWI ini LAKU SEUMUR HIDUP.

 

4. Tiada Tarikh Luput

Sijil kursus kahwin yang dikeluarkan oleh JAWI juga TIADA TARIKH LUPUT.

 

5. Boleh Digunakan Di Seluruh Malaysia

Sijil kursus kahwin dari JAWI ini SAH LAKU untuk digunakan di mana-mana negeri atau di mana-mana Jabatan Agama Negeri di Malaysia.

Jadi, walaupun anda bermastautin di negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan, anda masih boleh mengikuti kursus kahwin di Kuala Lumpur dan menggunakan sijil kursus kahwin tersebut sewaktu anda menghantar permohonan kelulusan nikah anda di negeri tempat anda tinggal.

Tiada masalah.

 

6. Simpan Elok-Elok

Disebabkan sijil kursus pra perkahwinan dari JAWI ini tiada tarikh luput dan laku seumur hidup, anda perlulah menjaga sijil kursus kahwin ini elok-elok tanpa menyebabkan ianya hilang atau rosak.

Info ini amat penting bagi anda yang akan mengikuti kursus perkahwinan tetapi masih belum ada pasangan atau masih belum ada tarikh pernikahan.

Simpan bawah bantal pun jangan ye 😀

 

7. Jangan Laminate

Walaupun selalu diingatkan, ramai juga para peserta kursus pra perkahwinan yang laminate sijil kursus kahwin mereka.

Anda dinasihatkan agar TIDAK LAMINATE sijil kursus kahwin ni kerana ianya akan menjadi satu masalah bagi Imam Jurunikah atau Jabatan Agama untuk chop kat di atas sijil nanti.

Selalunya sijil akan rosak apabila anda cuba untuk membuka kembali laminate yang sudah dibuat.

Oleh itu, ELAKKAN dari anda laminate sijil kursus kahwin ini.

 

8. Kalau Hilang Atau Rosak?

Setiap Jabatan Agama Negeri mempunyai proses dan prosedur masing-masing tentang apa yang bakal pengantin atau muda-mudi perlu buat jika berlakunya kehilangan sijil kursus perkahwinan.

Bagi sijil yang dikeluarkan oleh JAWI, anda perlu lakukan langkah-langkah seperti berikut:

a. Hubungi pusat kursus kahwin di mana anda telah hadir berkursus. Terangkan yang anda kehilangan sijil kursus kahwin dan minta pusat kursus kahwin tadi menyediakan SURAT PENGESAHAN KEHADIRAN KURSUS KAHWIN.

Berikan sedikit masa (1 atau 2 hari) bagi pusat kursus kahwin mencari kembali rekod dan maklumat kehadiran anda.

b. Hubungi kembali pusat kursus kahwin setelah 1 atau 2 hari bertanyakan adalah surat tersebut telah siap. Anda boleh ambil jika surat tersebut telah siap.

c. Kunjungi pejabat peguam yang mempunyai status Pesuruh Jaya Sumpah dan membuat SURAT AKUAN SUMPAH.

d. Bawa surat pengesahan kehadiran kursus kahwin bersama surat akuan sumpah tersebut ke JAWI. Sertakan bersama wang RM10. Di situ, anda boleh mmemohon untuk mendapatkan sijil kursus kahwin yang baru.

 

Jika anda mempunyai apa-apa kemusykilan atau pertanyaan, anda boeh terus hubungi atau Whatsapp kami untuk mendapatkan penjelasan atau pencerahan di 019 3300961.

Atau,

Anda boleh rancang bersama pasangan anda dan lihat-lihat tarikh kursus kahwin di laman web kami, www.KursusKahwin.com.my.

 

Related Post

Shares