Majlis perkahwinan adalah satu majlis yang sangat besar dalam kehidupan seseorang insan. Ini kerana majlis perkahwinan adalah sebuah majlis yang meraikan bukan sahaja pengantin, namun meraikan juga penyatuan hubungan di antara dua belah keluarga.
Oleh itu, bakal pengantin dan juga ahli keluarga perlu merancang dengan baik supaya majlis berjalan lancar.
Antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah adat dan adab majlis perkahwinan. Contoh adat seperti pelamin, pemakaian inai, cenderahati tetamu dan lain-lain. Contoh adab pula seperti adab melayan tetamu, adab berpakaian, adab beramah mesra dan lain-lain.
Oleh itu, mari kita lihat dengan lebih terperinci berkenaan dengan adab dan adat majlis perkahwinan yang perlu bakal pengantin ambil perhatian. Adat dan adab merupakan perkara yang saling berkaitan. Saya bahagikannya kepada tiga iaitu sebelum, semasa dan selepas majlis perkahwinan.
Sebelum Majlis Perkahwinan
Hari ini kita sudah berada di zaman yang serba canggih. Bagi mengikuti arus kemajuan teknologi, ramai bakal pengantin dan juga ibu bapa pengantin yang menjemput menggunakan Whatsapp dan Facebook sahaja.
Cara begini bukanlah salah. Kerana ia lebih mudah, cepat dan menjimatkan. Namun harus diingat, cara ini tidak boleh digunakan pada semua orang. Terutamanya kepada ahli keluarga terdekat.
Sebaiknya, jemputan antara ahli keluarga terdekat perlu menggunakan pendekatan lama iaitu dengan cara bersemuka atau paling kurang panggilan telefon. Tujuannya adalah untuk menghormati dan menghargai hubungan rapat yang sedia ada dan seterusnya mengeratkan lagi silaturrahim.
Semasa Majlis Perkahwinan
Biasanya tidak semua orang dapat menghadiri majlis perkahwian kita pada hari majlis berlangsung kerana mempunyai pelbagai komitmen lain. Oleh sebab itu, ada yang mungkin akan datang sehari sebelum majlis atau pun malam sebelum majlis perkahwinan yang sebenar.
Di sini pentingnya untuk emak ayah dan bakal pengantin mengurus masa dengan baik. Pastikan sepanjang majlis atau sehari sebelum majlis bakal pengantin memberi sepenuh perhatian melayan dan meraikan tetamu.
Tujuannya supaya para tetamu yang datang dapat mengenali bakal pengantin dengan lebih dekat dan juga dapat beramah mesra di antara satu sama lain.
Memandangkan hari ini kita berada di dunia yang semua orang sibuk, maka orang sudah menganggap ini satu perkara biasa (tak dapat jumpa pengantin). Menganggap bahawa ada perkara yang perlu diuruskan dan sebagainya.
Sedangkan pengantin tidak buat apa-apa pun. Saya tahu sebab berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya sendiri.
Malah pada hari ini, bakal pengantin mungkin hanya sibuk bermain telefon bimbit, di media sosial sahaja. Sebab semua kerja dibuat oleh ahli keluarga yang lain. Kalau ikut pengalaman saya dahulu tidak ada apa yang nak dilakukan.
Jadi lebih baik gunakan waktu yang ada untuk beramah mesra dan juga bersembang-sembang dengan tetamu yang hadir sebagai latihan komunikasi untuk memantapkan diri.
Malah, lebih tidak manis adalah apabila bakal pengantin yang masih sibuk menguruskan persiapan diri ketika tetamu hadir. Bila tetamu hadir untuk berjumpa dengan pengantin, kita masih kelam kabut membuat persiapan sendiri seperti pakaian dan sebagainya.
Sedangkan semua perkara ini kita boleh selesaikan dengan lebih awal. Urus masa.
Sehingga ada juga bakal pengantin (terutamnya perempuan) yang berpakaian agak selekeh atau kurang sopan pada waktu ini. Seharusnya bakal pengantin memakai pakaian yang lebih kemas dan sopan bagi menjaga air muka keluarga.
Kita kena tahu masa ini mungkin tetamu mahu bergambar dengan bakal pengantin. Jadi kita memang perlu sentiasa bersedia dalam keadaan kemas dan sopan. Ok sebut tentang bergambar, ada lagi satu perkara yang mahu saya sentuh.
Ini saya tujukan kepada bakal pengantin dan juga juru gambar.
Kita kena tahu mana yang perlu diutamakan ketika mengambil gambar. Kita kena sensitif tentang perasaan orang lain terutamanya kedua-dua belah keluarga. Semasa waktu kemuncak, sudah pasti ramai tetamu yang mahu berjumpa dan bergambar dengan pengantin.
Sebaik-baiknya kita pastikan bakal pengantin bergambar dahulu bersama keluarga kedua-dua belah pihak. Seterusnya rakan-rakan pengantin. Sebab kadang-kadang ada keluarga yang datang dari jauh hendak mengambil gambar kenangan secara ‘personal’ bersama pengantin.
Dahulukanlah mengambil gambar dengan keluarga.
Hal ini, kerana terdapat juru gambar yang mengambil gambar pengantin berdua-duaan dan membiarkan ahli keluarga menunggu lama. Terdapat juga pengantin yang mengambil gambar secara agak tidak sopan seperti berpelukan atau bercumbuan sambil disaksikan oleh keluarga.
Walaupun pengantin telah menjadi suami isteri, sikap menjaga sensitiviti masyarakat adalah sangat penting.
Waktu ini pengantin boleh tegur juru gambar, beritahu saya nak bergambar dengan ahli keluarga dahulu. Bukan ikut sahaja arahan juru gambar. Jangan lupa, kita yang bayar dia. Jadi dia yang kena ikut cakap kita.
Tetapi tidak semua juru gambar macam ini. Ada juga yang bagus. Mengutamakan keluarga.
Selepas Majlis Perkahwinan
Kita hanya dilayan seperti raja hanya sehari sahaja, bak kata pepatah melayu ‘raja sehari’. Sedangkan selepas itu kita perlu memainkan peranan utama dalam mengemas rumah. Kita kena faham bahawa orang lain sudah bersusah payah membantu menjayakan semasa dan sebelum majlis.
Jadi, selepas majlis merupakan tugas pengantin dan perkara ini tidak perlu diberitahu oleh emak dan ayah kita. Kita kena faham-faham sendiri. Kita patut berterima kasih kepada emak ayah, adik-beradik, dan saudara-mara yang bertungkus-lumus selama dua tiga hari untuk menyempurnakan majlis.
Oleh itu, aktiviti mengemas selepas majlis perlu di lakukan oleh pasangan pengantin bersama-sama. Mencuci pinggan mangkuk, periuk belanga, mengemas kerusi meja, menyapu dan sebagainya.
Pada zaman dahulu, aktiviti ini menjadi kelaziman kepada pengantin, namun adat ini semakin hilang. Malahan ada pengantin baru yang terus pergi berbulan madu keesokannya, meninggalkan majlis begitu sahaja.
Selain itu, mungkin selepas majlis berakhir, masih ada lagi tetamu yang hadir. Biasanya rakan-rakan pengantin. Bukan tidak boleh melayan tetamu, namun harus berpada-pada.
Ketika ahli keluarga lain sedang sibuk mengemas rumah, kita pula bergelak ketawa seperti lepak di kedai mamak. Bukan tidak boleh langsung, tetapi berpada-padalah.
Sedikit tambahan lagi, berkenaan menziarahi ahli keluarga terdekat selepas majlis. Hal ini, sangat penting sebagai tujuan untuk memperkenalkan suami atau isteri kepada saudara mara terdekat.
Pada zaman dahulu, menziarahi saudara adalah suatu aktiviti yang wajib bagi pengantin baru. Sesekali ada Ibu bapa sengaja meminta pengantin menghantar barangan lebihan daripada majlis perkahwinan, sebagai contoh bahan kering, gula, tepung kentang atau beras untuk diberikan kepada saudara terdekat.
Pengantin suami isteri akan menghantar barangan tersebut dengan tujuan untuk memperkenalkan suami atau isteri kepada mereka.
Namun semenjak kebelakangan ini, adat ini telah hilang. Adat ziarah-menziarahi, bertegur sapa semakin berkurangan dan menyebabkan hubungan kekeluargaan semakin renggang. Salah satu tujuan perkahwinan yang pada asalnya untuk menghubungkan silaturahim menjadi semakin hilang dek telan zaman.
Kesimpulan
Bakal pengantin perlulah menjadi orang yang lebih peka. Sentiasa memikirkan tentang perasaan orang yang berada di sekeliling kita terutamanya kedua-dua belah keluarga pengantin. Bukanlah untuk menjaga tepi kain orang.
Tetapi menghormati dan menghargai orang yang berada di sekeliling kita adalah lebih penting. Saya umpamakan seperti kita sebagai manusia ini lazimnya mempunyai lima deria. Namun selepas berkahwin kita perlu mengaktifkan satu lagi deria. Deria keenam yang dimaksudkan adalah deria naluri kemanusiaan.
Sentiasa memerhatikan sebarang perubahan layanan di kalangan ahli keluarga kita. Contohnya mimik muka, bahasa badan, percakapan dan sebagainya. Kerana tidak semua orang mahu atau berani menegur kita secara terang-terangan.
Mungkin sepanjang kita bersama mereka, kita telah melakukan sesuatu perkara yang tidak menyenangkan. Nak tegur, malu ahli keluarga baru. Jadi berpada-padalah. Jadilah pengantin baru yang sentiasa dinanti. Janganlah menjadi pasangan pengantin baru yang dikeji.
Hakim Darno,
“Membaca dan Menulis. Tujuannya hanya satu iaitu menyebarkan ilmu bermanfaat”.
Aktif menulis di qumfaanzir.com dan langitilahi.com.
Merupakan usahawan di grabngaji.com
Nota:
- Anda boleh membaca banyak artikel-artkel yang menarik 2 blog ini:
http://www.qumfaanzir.com
http://www.langitilahi.com - Untuk mendapatkan ilmu Al-Quran, anda boleh lihat-lihat laman web ini:
http://www.grabngaji.com - Untuk lihat tarikh terkini, jumlah seat “real time”, waktu kursus, yuran dan pendaftaran secara online, mohon anda ke www.kursuskahwin.com.my/daftar